KUALA KRAI, 7 Oktober 2025 – Yayasan PETRONAS, dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat, meneruskan usaha menyemarakkan keceriaan musim perayaan melalui Program Memacu Kehidupan Festive: Deepavali, di sini hari ini, dengan mengagihkan bakul makanan kepada 100 keluarga dengan kekangan ekonomi di Kelantan.
Sumbangan kepada 100 keluarga di jajahan Kuala Krai disampaikan oleh Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Kelantan, Md Yani Mat Zain di dalam satu majlis penyerahan di Dewan KESEDAR, Kuala Krai. Turut hadir, Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Mohammad Ahmad Shazly Ramli.
Setiap keluarga terbabit menerima sumbangan barangan makanan asas seperti beras, minyak masak, gula, garam, tepung, kari ayam dalam tin, teh, minuman berasaskan coklat dan malt serta kekacang. Selain daripada itu, setiap keluarga juga turut menerima makanan bertemakan Deepavali iaitu, serbuk briyani masala, tepung campuran kesari dan minyak sapi.
Bagi menambah keceriaan sambutan Deepavali, PETRONAS turut menyampaikan kuih perayaan, seperti murukku, yang disediakan khas oleh peserta Program Memperkasakan Kesejahteraan Rakyat (MEKAR) anjuran Yayasan PETRONAS. Usaha ini juga sebahagian daripada inisiatif PETRONAS untuk meningkatkan taraf kehidupan usahawan Industri Kecil dan Sederhana.
Menurut Mohammad Ahmad Shazly, “Program Memacu Kehidupan Festive: Deepavali ini merupakan salah satu daripada komitmen berterusan PETRONAS, melalui Yayasan PETRONAS, untuk membangkitkan perasaan kegembiraan dan kasih sayang sempena musim perayaan. Kami berharap sumbangan ini dapat membawa keceriaan yang lebih bermakna buat mereka bersama keluarga tersayang.”
Program Memacu Kehidupan: Deepavali bakal memanfaatkan 1,700 keluarga kurang berkemampuan di seluruh Malaysia, membolehkan mereka turut merasai keceriaan Deepavali bersama komuniti masing-masing.