700 Kakitangan PETRONAS Berkongsi Kemeriahan Bulan Perayaan Di Seluruh Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 July 2019 – Yayasan PETRONAS baru-baru ini menganjurkan pelbagai aktiviti yang melibatkan lebih daripada 700 kakitangannya di seluruh Malaysia sempena sambutan bulan Ramadan, Pesta Kaamatan, Hari Gawai dan Hari Raya Aidilftri, dari 8 Mei hingga 5 Julai 2019.

Para sukarelawan, melalui program Sentuhan Kasih Yayasan PETRONAS memberi sumbangan berupa wang tunai dan barangan yang berjumlah RM815,000 kepada lebih daripada 2,800 buah keluarga dan individu termasuk warga emas, golongan kurang berkemampuan, anak-anak yatim, orang kelainan upaya, penghuni rumah amal serta mereka yang mendiami kawasan terpencil.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS, Lita Osman berkata, “Sinar kegembiraan jelas terpancar di mata para sukarelawan kami yang berasal dari pelbagai latar belakang serta generasi apabila mereka dapat berganding bahu dan bersatu hati untuk menjayakan usaha murni ini.” 

Beliau menambah, “Semangat kesukarelaan di kalangan kakitangan adalah amat penting demi manfaat masyarakat sejagat.

“Saya amat berbangga dengan para sukarelawan kami yang komited, sehingga sanggup berkorban masa dan tenaga mereka semata-mata untuk menjalankan tugas yang di luar bidang kerja mereka.” 

Jurutera reservoir Abdul Hakim Mazeli, seorang sukarelawan Yayasan PETRONAS berkata, “Kami ingin berkongsi keriangan bersama semua lapisan masyarakat di Malaysia khasnya mereka yang kelainan upaya, di musim perayaan ini. Saya harap usaha kami ini dapat membantu mereka untuk melupakan kepayahan yang ditanggung.”

“Pengalaman ini memberi saya peluang untuk berinteraksi dengan mereka yang pada kebiasaannya tidak dapat saya temui. Saya amat bersyukur dan berharap usaha kecil saya ini akan menjana perubahan di dalam kehidupan mereka. Malahan, saya amat bersyukur kerana turut mendapat ramai rakan baharu.”

Kakitangan PETRONAS menganjurkan serta mengendalikan 24 aktiviti kemasyarakatan seperti gotong-royong, membeli-belah dan menghantar barangan makanan di samping mencetus penglibatan kanak-kanak melalui aktiviti-aktiviti menyeronokkan seperti mewarna dan bercerita, menyampaikan duit raya dan ceramah motivasi serta menganjurkan acara membeli-belah kelengkapan Aidilfitri. 

Selain itu, para pelanggan yang singgah di stesen-stesen minyak PETRONAS terpilih juga menerima pek berbuka puasa berupa bubur lambuk yang disediakan sukarelawan terbabit. 

Hamsiah Mantali, yang disantuni sukarelawan di bahagian pedalaman Sarawak baru-baru ini berkata, “Saya amat berterima kasih kepada Yayasan PETRONAS kerana mengunjungi kami pada bulan yang mulia ini dan menyediakan barangan keperluan asas untuk meringankan beban kami. Bagi sesetengah pihak, sumbangan itu mungkin tidak seberapa  tetapi bagi kami, ia suatu yang amat bermakna.”

Di Melaka, penerima sumbangan dari Sungai Udang, Azadin Abdul Aziz, berkata: “Saya berasa amat gembira apabila tergolong di antara mereka yang menerima sumbangan. Saya juga terharu dengan layanan yang diberikan kepada saya, terasa seperti tetamu terhormat pula.” 

Program Sentuhan Kasih merupakan sebahagian daripada bidang tumpuan Kesejahteraan dan Pembangunan Komuniti Yayasan PETRONAS. Ia dianjurkan sempena sambutan perayaan utama di Malaysia untuk memupuk semangat bekerjasama Yayasan PETRONAS dengan komuniti tempatan dalam menyediakan keperluan asas demi kesejahteraan hidup mereka.

Muat Turun: Foto dan Video Sentuhan Kasih Yayasan PETRONAS 2019

Muat turun gambar-gambar berkenaan program Sentuhan Kasih Yayasan PETRONAS 2019 di sini, manakala video yang memaparkan sukarelawan dan penerima bantuan boleh didapati di sini. Video dari kunjungan Yayasan PETRONAS ke wad kanser kanak-kanak di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Kuala Lumpur boleh didapati dari sini.

Mengenai Yayasan PETRONAS  

Yayasan PETRONAS merupakan cabang Tanggungjawab Sosial Korporat PETRONAS. Misinya adalah untuk menyumbang terhadap kesejahteraan masyarakat. Yayasan PETRONAS berhasrat untuk menyampaikan kelestarian impak, mempertingkatkan kualiti kehidupan dan hasil sosioekonomi komuniti di seluruh negara menerusi bidang-bidang fokus yang merangkumi Pendidikan, Kesejahteraan dan Pembangunan Komuniti serta Alam Sekitar.

W: https://www.yayasanpetronas.com.my
FB: https://www.facebook.com/yayasanpetronasmy/
IG: https://www.instagram.com/yayasanpetronas/

Diterbitkan bagi pihak:
YAYASAN PETRONAS

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Reshvinder Kaur: + 60 17-275 7985| resh.kaur@ceria.asia
Lim Wei Wen: +6012 3223476 | weiwen.lim@petronas.com