All About Youth (AAY) 2019 Temui Jaguh Usaha Pemuliharaan Alam Sekitar Terengganu Juarai Sentuhan Harapan – AAY 2019 PETRONAS

Melaka – 6 Ogos 2019 — SM Imtiaz Yayasan Terengganu Kemaman dari Terengganu menjuarai pertandingan Sentuhan Harapan – All About Youth (AAY 2019) anjuran Yayasan PETRONAS di sini hari ini, selepas sebelas minggu bertungkus lumus menyempurnakan projek inovatif pemuliharaan alam sekitar.

Pertandingan akhir AAY ini menyaksikan persaingan sengit antara 100 pelajar Tingkatan 2 dan Tingkatan 4 daripada lima buah sekolah menengah dari Sabah, Sarawak, Terengganu, Johor dan Melaka yang telah berjaya menarik perhatian juri berpandukan tema pertandingan, “Reducing Carbon Emissions for a Better Future”.

Namun projek dipimpin Nur Farah Ismahani Mohd Faizal dan Muhammad Hilmi Mohd Nazi berjaya muncul sebagai juara dengan projek yang dinamakan “CO2NCER”, satu sistem pengesan dan amaran kebakaran hutan, dan membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000. Pelajar-pelajar ini adalah antara 1,000 peserta yang mengambil bahagian dalam pertandingan ini.

Berucap ketika pusingan akhir pertandingan, Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan, Kementerian Pendidikan, Dr. Ahmad Rafee Che Kassim berkata belia masa kini akan berdepan dengan kesan ketara perubahan iklim, namun akan mendapat manfaat daripada revolusi teknologi selari pembangunan sains dan inovasi.

“Saya kagum melihat para peserta AY2019 ini begitu peka betapa seriusnya isu ini. Dengan kreativiti masing-masing, mereka mengilhamkan penyelesaian yang berdaya maju untuk menangani isu-isu sebenar bagi manfaat masyarakat. Ini akan mendorong mereka untuk terus melangkah berusaha menangani perubahan iklim di peringkat tempatan, kebangsaan dan global,” tambah beliau.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS Lita Osman berkata AAY menawarkan peluang kepada para pelajar memperlihatkan bukan hanya suatu idea, tetapi pelbagai cara membantu menyelesaikan masalah perubahan iklim.

“Menerusi AAY, pelajar menjalankan ujikaji, merekacipta dan bekerjasama mencari penyelesaian. Panel hakim kagum dengan keupayaan pelajar mengguna pakai sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) untuk solusi jaminan masa depan yang lebih baik. Semua pasukan telah menzahirkan idea-idea mereka kearah penyelesaian praktikal demi kesejahteraan masyarakat. Saya berharap mereka akan terus mengasah projek masing-masing agar boleh dilancarkan ke seluruh negara,” tambahnya.

Ketua projek, Nur Farah menyuarakan kegembiraannya dengan berkata, “Kami berasa amat teruja dan bersyukur! Alhamdulillah, usaha dan kerja keras kami telah membuahkan hasil. Kami amat berterima kasih kepada rakan-rakan ‘Buddies’ kami (sukarelawan PETRONAS) yang memberi bimbingan dan sokongan. Usaha kami tidak berakhir di sini dan berharap dapat mempertingkatkan lagi ‘CO2NCER’ bagi menjuarai Chairman’s Circle.”

AAY memberi tumpuan kepada usaha memacu inovasi sosial, menyediakan alat dan teknik untuk mencipta penyelesaian yang dapat menambah baik kesejahteraan masyarakat. AAY juga menyokong nisbah sasaran pelajar jurusan STEM ke tahap 60:40, sejajar dengan matlamat kerajaan dan aspirasi negara mengurangkan pelepasan karbon.

SMK Tebobon (Sabah) memenangi tempat kedua dan membawa pulang RM10,000 manakala SMK Tun Habab (Johor) muncul sebagai pemenang tempat ketiga dan menerima hadiah RM5,000. SMK St Francis (Melaka) dan SMK Asyakirin (Sarawak) menerima hadiah sagu hati.

Selepas pusingan akhir peringkat kebangsaan AAY 2019 ini, lima pasukan daripada 200 sekolah akan dipilih sekali lagi untuk bertanding di peringkat Chairman’s Circle pada bulan Disember tahun ini untuk merebut hadiah berjumlah RM30,000. Pemilihan akan dibuat berdasarkan projek yang berdaya maju dan berpotensi untuk dikomersilkan.

Mengenai AAY2019

Tahun ini, 50 sekolah dari lima negeri – Sabah, Sarawak, Terengganu, Melaka dan Johor – bertanding dalam AAY 2019. Setiap pasukan menerima modal permulaan bernilai RM1,000, Alat Kelengkapan Teknologi bernilai RM1,250 dan tunjuk ajar oleh sukarelawan PETRONAS untuk menjayakan projek mereka dalam tempoh sebelas minggu.

Program AAY yang dianjurkan sejak tahun 2014 telah disertai lebih 200 buah sekolah dan melibatkan sehingga 4,600 orang pelajar. Mereka telah menerima bimbingan, tunjuk ajar dan motivasi daripada lebih 150 sukarelawan atau ‘PETRONAS Buddies’. Melalui usaha ini, para peserta telah berjaya menghasilkan 200 projek masyarakat yang memberi manfaat kepada masyarakat dan alam sekitar.

Muat turun gambar di sini: www.yayasanpetronas.com.my/sentuhan-harapan-all-about-youth- 2019/

Nota Kepada Pengarang

Untuk memuat turun foto dan video yang telah dirakamkan sepanjang AAY2019 sila layari Yayasan PETRONAS News Center bagi menyepadukan bahan ke laman Web anda, berkongsi video melalui pautan e- mel, dan melanggani risalah berita kami.

Ikuti Yayasan PETRONAS di Facebook dan Instagram.
Untuk maklumat lanjut, sila ke https://www.yayasanpetronas.com.my

Mengenai Yayasan PETRONAS

Yayasan PETRONAS merupakan cabang Tanggungjawab Sosial Korporat PETRONAS. Misinya adalah untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat. Yayasan PETRONAS berhasrat untuk memberikan kesan lestari, menambah baik kualiti hidup dan sosioekonomi masyarakat di seluruh negara menerusi tumpuannya dalam bidang Pendidikan, Kesejahteraan & Pembangunan Masyarakat, dan Alam Sekitar.

Dikeluarkan bagi pihak:
YAYASAN PETRONAS

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Reshvinder Kaur: + 60 17-275 7985| resh.kaur@ceria.asia
Lim Wei Wen: +6012 3223476 | weiwen.lim@petronas.com