‘Asam Garam’ Kehidupan: Senduk dan Kuali Ubah Nasib Keluarga

Suatu ketika dahulu, Norhazima binti Abdul Jalil merupakan seorang ibu muda yang terpaksa bersusah-payah untuk mencari pendapatan. 

Demi mencari sesuap nasi untuk seisi keluarga, beliau berikhtiar menjual makanan di hadapan rumahnya. Tetapi dalam masa sebulan, pendapatannya hanya mampu mencecah RM500. Walaupun dengan pendapatan terkumpul bersama suami yang berkerja menoreh getah, ia masih tidak cukup untuk menjalankan kehidupan.

“Ada kalanya saya tak dapat nak izinkan anak-anak untuk ikuti program di sekolah kerana saya tak mampu untuk membayar yurannya,” luah Norhazima. Kelengkapan sekolah, baju baru, mahupun kudap-kudapan sekalipun adalah sebuah ‘kemewahan’ buat mereka sekeluarga. Mereka tidak mempunyai sebarang wang simpanan, apatah lagi duit belanja lebih untuk diberi kepada anak-anak.

Norhazima menyediakan mi sup istimewanya

Tetapi sekurang-kurangnya, mereka tidak pernah berlapar. Tambahan lagi, Norhazima pandai memasak dan tidak akan sekali-kali membazir. 

“Saya memang suka memasak! Setiap kali saya mencuba juadah yang baharu, saya akan mula berjinak-jinak di rumah dengan bahan masakan yang berlainan,” cerita Norhazima lagi.

Minat memasak jadi perniagaan

“Saya dah lama bercita-cita untuk mempunyai restoran sendiri. Kawan-kawan pun selalu memberi saya galakan,” jelas Norhazima apabila mengimbau kembali permulaan restorannya. Sekali sekala, beliau akan mencuba resipi baharu dan mengundang rakan-rakan ke rumah untuk menikmatinya bersama. Seronok melihat rakan-rakan merasa air tangannya, timbullah bibit-bibit idea untuk membuka kedai makan sendiri. 

Caption: Warung Romantik terletak di Kampung Pond Creek di Pendang, Kedah

Walaubagaimanapun, Norhazima tidak berpengalaman ataupun berpengetahuan untuk memulakan perniagaan sendiri.

Seperti sudah ditakdirkan, beliau akhirnya mendapat tahu tentang Program empowerNCER.

Melalui program ini, Yayasan PETRONAS yang menerajui inisiatif Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (MEKAR) telah membekalkan Norhazima dengan kemahiran baru. 

Sejak awal lagi, potensi dan semangat dalam diri beliau telah mendapat perhatian tenaga pengajar. Tidak lama selepas itu, mereka membantu Norhazima dalam perancangan perniagaannya dan memberikan tunjuk ajar secukupnya. Selang beberapa minggu, beliau berjaya membuka Warung Romantik Norhazima.

Para pengunjung ‘wajib’ mencuba kelazatan Laksam dan Kuetiau Theng hasil air tangan Norhazima

Jadi jika melalui jalan Pantai Timur Malaysia, jangan lupa singgah di Warung Romantik Norhazima yang berlokasi di kawasan ladang getah. Sekali cuba, pasti akan tertawan dengan keenakan masakan Norhazima.

Di restorannya, beliau menghidangkan laksam, sejenis juadah popular berasaskan ‘gulungan’ mi tepung beras yang disaji dengan kuah ikan bersantan bersama herba dan sayuran tempatan. Antara yang menarik pengunjung juga ialah Kuetiau Theng, sejenis juadah mi tepung beras berkuah jernih, disempurnakan dengan kepedasan sambal.

Jadi insan yang lebih kuat

Kini, Norhazima jauh lebih berkeyakinan sebagai peniaga. Hanya selepas beberapa minggu memasarkan juadahnya di media sosial, pengunjung mula datang berduyun-duyun, lebih tiga kali ganda daripada kebiasannya.

Hari ini, beliau meraih sebanyak 12 kali ganda pendapatan berbanding sebelum ini. Pendapatan tetap beliau sebanyak RM6000 sebulan adalah sebuah kejayaan manis yang menjanjikan masa hadapan yang lebih cerah. Sebagai seorang ibu, beliau gembira apabila sekali-sekala dapat memanjakan anak-anak dan menyediakan kelengkapan sekolah apabila perlu. 

Caption: Warung Romantik Norhazima ‘viral’ di media sosial, menarik pengunjung dari jauh dan dekat

“Kini, saya berkemampuan untuk menggajikan seorang pekerja untuk membantu saya di dapur. Tetapi di masa akan datang, saya berharap dapat membantu ramai lagi wanita dan memberikan mereka peluang pekerjaan,” kata Norhazima. “Suami dan anak pun turun padang untuk membuat penghantaran makanan,” jelas Norhazima yang semakin yakin dalam perniagaannya.

Apabila pandemik melanda negara dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Norhazima kekal berjuang. Beliau meneruskan perniagaannya melalui khidmat pesanan dan penghantaran makanan dan membuka kembali warung apabila PKP dilonggarkan.

Caption: Perniagaan Norhazima semakin maju dan kini beliau mampu untuk menggajikan seorang pekerja di warung. Peluang pekerjaan seperti ini amat bermakna buat glongan wanita di kampung

Pada masa yang sama, beliau menggunakan inovasi dan kreativiti demi memajukan perniagaan. Oleh itu, beliau telah menambah banyak lagi jenis hidangan mi ke dalam menu, di samping menyediakan pelbagai air minuman dan kudap-kudapan yang boleh dinikmati pengunjung. 

Berbekalkan sedikit modal, Norhazima kini juga menanam cili dan kangkung sebagai sumber pendapatan tambahan. Hasil wang simpanan daripada semua perniagaan beliau, Norhazima telah berjaya membeli kereta untuk mengembangkan lagi perniagannya. Namun buat beliau, ini hanyalah permulaan. Banyak lagi yang bakal beliau kecapi!

Norhazima berkongsi kisahnya:

Kisah Norhazima memberikan harapan buat kita, lebih-lebih lagi di waktu kita diuji dengan pandemik. Beliau bermula dengan sebuah minat, dan kemudian diberikan peluang dan tunjuk ajar untuk menggunakan minatnya dalam mencari pendapatan. Perjalanan Norhazima bukanlah mudah, tetapi hasilnya cukup berbaloi.

Sehingga ke hari ini, perniagaan Norhazima terus maju kerana beliau sentiasa aktif memasarkan hidangannya di media sosial.

Adakah anda mengenali sesiapa yang mempunyai kisah seperti Norhazima?

Komen atau tag perniagaan mereka di ruangan komen supaya kami dapat terus membantu menyokong produk dan servis tempatan!