‘Cuci tangan’ daripada hidup miskin

Suatu masa dahulu, Prasit Ai Triang, 24 tahun, baru sahaja berkahwin tetapi hidup dalam kesempitan wang.

Didorong minat terhadap kereta, beliau mencari rezeki mencantikkan kenderaan dan memasang aksesori. Namun beliau hanya memperoleh sekitar RM300 sebulan.

Hasil ini cuma cukup makan sahaja untuk seorang, apatah lagi untuk hidup berdua.

Bangkit dari jatuh, Prasit menyinsing lengan untuk mencuba sesuatu yang baharu. Berbekalkan span, hos air dan segala keberanian yang ada, beliau menceburkan diri dalam perniagaan dan sejak itu tidak lagi menoleh ke belakang.

Permulaan Perniagaan

99 Car Wash di Pendang ialah kebanggaan dan sumber kebahagiaan Prasit. Perkhidmatannya yang teliti telah menarik pelanggan untuk mencuci kereta di tempat beliau.

“Impian saya adalah untuk memiliki perniagaan kereta sendiri tetapi saya tak tahu bagaimana untuk bermula, atau apa yang harus dilakukan. Nasib baik saya ditemukan dengan para pelatih Program empowerNCER yang menyokong idea saya untuk membuka perniagaan sendiri,” jelas Prasit.

Cuci Kereta 99 di Pendang, jadi kebanggaan dan sumber kebahagiaan Prasit.

Rasa ingin tahunya membuak-buak ketika beliau diperkenalkan dengan Program empowerNCER yang merupakan salah sebuah inisiatif latihan keusahawanan.

Melalui program empowerNCER, Yayasan PETRONAS yang menerajui inisiatif Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (MEKAR) telah membekalkan Prasit dengan kemahiran baru. 

Kesungguhannya untuk menuntut ilmu peniagaan dan minatnya terhadap kereta telah menyalakan semangat baharu dalam dirinya.

Setelah beberapa bulan mengikuti program ini, beliau pun membuka perniagaan mencuci kereta. Tempat mencuci keretanya biasa sahaja – didirikan dengan bekalan air yang baik, bumbung dan ruang yang luas untuk kereta masuk.

Prasit, kini seorang pemilik peniagaan, gembira di tempat mencuci kereta baharunya

Sewaktu beberapa bulan pertama, pelanggan datang mencuci kereta kerana mereka kebetulan lalu di tempat itu. Namun, khidmat cucian kereta yang teliti oleh Prasit memuaskan pelanggan dan mereka kembali sebagai pelanggan tetap. Pendapatan Prasit mula bertambah setiap bulan.

Tidak lama selepas itu, Prasit sedar bahawa beliau memerlukan pertolongan. Oleh itu, beliau mengupah dua orang pekerja supaya pusat mencuci keretanya dapat memenuhi permintaan yang semakin bertambah. Pada masa yang sama, Prasit segera mempelajari cara menguruskan tenaga kerja dan perniagaan yang semakin berkembang.

Mata Prasit yang tajam dan teliti membuatkan kereta yang dicucinya sentiasa bersih berseri.

“Sebelum ini, saya bekerja untuk orang. Tetapi sekarang saya pula yang mengupah orang untuk membantu saya berniaga!” kata Prasit dengan bangga.

Mempelbagaikan dan Menginovasikan Perniagaannya

Daripada sebahagian keuntungannya, Prasit melaburkan sedikit modal untuk mengembangkan perniagaan cuci keretanya. Kini, pusatnya turut menjual aksesori kereta, menawarkan servis memasang lampu berwarna, menukar lampu kenderaan, membersihkan karpet kereta dan menggilap kereta.

Prasit berbual bersama pelanggan di 99 Car Wash, Pendang

Lama kelamaan, pusat perniagaan beliau berubah dari tempat mencuci kereta biasa menjadi pusat spa kereta sehenti.

Berita mula tersebar di Pendang dan kawasan berhampiran apabila Prasit menggunakan Facebook untuk memasarkan perniagaannya. Gambar kereta-kereta bersih berkilat serta gambar perbandingan sebelum dan selepas telah menjadi tarikan besar buat para pelanggan baharu.

Antara ulasan pelanggan di laman Facebooknya, “Servis terbaik dan mesra!”

Mempelbagaikan servis dalam mencantikkan penampilan kereta

Tidak Lagi Kesempitan Wang

“Dahulu, saya hanya memperoleh RM300 dan berkerja untuk orang. Sekarang, ada kalanya saya memperoleh sebanyak RM5,500 sebulan. Bukan itu sahaja, malah saya memberi peluang pekerjaan kepada orang lain,” kata Prasit.

Prasit kini dapat mengupah pembantu untuk memenuhi permintaan pelanggan di pusatnya

Tidak lama dahulu, hidup pemuda ini umpama kais pagi makan pagi. Namun, beliau mempunyai minat dan semangat mendalam, dan diberikan pula peluang untuk belajar berniaga.

Bagi seorang pemuda seperti Prasit, bimbingan hadir tepat pada waktunya. Masa depannya kembali cerah.

Mungkin anda ada mengenali anak muda seperti Prasit yang gigih mencari jalan keluar dari kancah kemiskinan. Setiap orang berhak mendapat peluang yang sama.

Jika ya, kongsikan dengan kami di ruang komen atau hubungi kami. Kami ingin mendengar kisah mereka.