Dahulunya cuma dapat menjual 10 bungkus nasi lemak sehari, Nurul Asyikin kini menjual lebih dari 50 bungkus nasi lemak dan aneka kuih-muih di gerai tepi jalan – yang menariknya digelar “Nasi Lemak Lemas”.
Tetapi suatu masa dahulu, pendapatan beliau tidak seberapa. Selalunya beliau hanya meraih RM100 setiap bulan, hasil menjual nasi lemak bungkus di hadapan rumahnya. Sememangnya ia tidak cukup untuk menyara keluarga namun apakan daya, itu sahaja mata pencarian. Apatah lagi dengan anak-anak yang masih kecil, beliau langsung tidak dapat meninggalkan rumah untuk mencari pekerjaan.
“Selalunya, hanya orang kampung sahaja yang akan membeli. Kadang-kala akan terjual habis, dan ada kalanya tidak,” luahnya. Sekiranya terdapat lebihan makanan, semuanya akan dimakan seisi keluarga supaya tidak membazir.
Cabaran Tidak Bererti Terus ‘Bungkus’
Hinggalah pada suatu hari, sebuah peluang keemasan hadir di dalam hidupnya.
Nurul Asyikin nekad untuk memohon ke dalam Program empowerNCER.
Melalui program empowerNCER, Yayasan PETRONAS yang menerajui inisiatif Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (MEKAR) telah membekalkan Nurul dengan kemahiran baru.
Ia merupakan sebuah program keusahawanan yang direka untuk membantu dan melatih komuniti B40 demi menaikkan taraf hidup mereka.
“Banyak yang saya pelajari daripada program tersebut. Daripada aspek mengurus perniagaan sampailah bagaimana menjadi lebih produktif dan memberi pelanggan lebih banyak pilihan,” ulas Nurul Asyikin. “Saya juga dapat sokongan padu daripada mereka, dan merekalah juga yang membantu nasi lemak saya jadi viral!” katanya sambil tersenyum lebar.
Nurul Asyikin seorang yang ceria dan mudah mesra dengan sesiapapun. Malah personaliti beliau terpancar pada slogan gerainya, “Lemaslah anda dalam kelazatan” yang cukup mencuit dan memikat hati mana-mana pelanggan.
Sejak awal lagi, beliau nekad untuk menggembirakan pelanggannya dan hidangan beliau tidak pernah menghampakan. Nasi lemak bungkusnya cukup banyak, dengan pebagai pilihan nasi – nasi putih, nasi lemak bersantan, nasi beras perang dan nasi pulut.
Tetapi sebenarnya, bukan nasi sahaja yang menjadi tarikan. Buat si pencinta nasi lemak, rahsia kelazatan nasi lemak yang sebenar adalah pada sambal. “Saya memasak sambal selama 4 ke 5 jam setiap hari,” cerita Nurul Asyikin, sedikit sebanyak berkongsi rahsianya di dapur. Namun apa yang nyata adalah azam beliau untuk menggenggam kejayaan.
Pendapatan Berganda
Beliau tidak pernah terbayang untuk mempunyai gerai jauh dari rumah. Tetapi bermula dari hanya berniaga di meja kecil di hadapan rumah, Nurul Asyikin kini berniaga di gerai kanopi sendiri di tepi jalan di Batu 42 Baling, Kedah, setiap hari dari pukul 7 – 10 pagi, tanpa lelah.
“Sekarang saya dapat menjual lebih dari 50 bungkus nasi lemak setiap hari. Adik saya pun turun padang untuk menolong,” kongsinya.
Sejak kebelakangan ini, beliau meraih pendapatan kira-kira RM2,000 setiap bulan. “Saya amat bersyukur kerana saya mendapat pertolongan ketika saya benar-benar memerlukannya,” tambahnya lagi.
“Saya mampu untuk membayar yuran persekolahan dan kelas tambahan anak. Saya juga sudah mempunyai simpanan serba sedikit,” jelasnya. Bagi beliau, pertambahan pendapatan ini telah memarakkan api semangat dalam dirinya.
Hasil keuntungan perniagaannya, Nurul Asyikin telah membeli periuk memasak nasi yang lebih besar supaya beliau dapat membuat lebih banyak bungkusan nasi lemak.
Nasi Lemak Lemas di ‘lautan’ pelanggan online
Di media sosial, beliau memasarkan perniagaannya di laman Nasi Lemak Lemas, Antara gambar terbaharunya yang dimuat naik dalam media sosial, Nurul Asyikin setia menunggu pelanggan sesudah fajar, bersama barisan bungkusan nasi lemak, kuih dan sandwic yang menyelerakan.
Sewaktu perlaksanaan kawalan pergerakan, Nurul Asyikin tidak membuang masa. Sepantas kilat, beliau beralih ke servis penghantaran makanan ke rumah pelanggan. Pengumuman yang tertera di laman Facebook: “Kalau takut untuk keluar rumah, kami boleh hantarkan pesanan ke rumah, dibayar tunai apabila makanan anda tiba.”
Setiap sen hasil berniaga amat besar maknanya buat peniaga seperti Nurul Asyikin.
Ayuh beramai-ramai menyokong beliau dan keluarga B40 lain yang sedang berhempas pulas untuk mencari rezeki ke arah mengubah nasib diri.
Adakah anda tahu akan mana-mana perniagan yang boleh kami bantu dan bimbing?
Kongsikan di ruangan komen!