Majlis Pelancaran ‘Program Duta Guru’ Kementerian Pendidikan Malaysia – Yayasan PETRONAS

DRAF UCAPAN

Puan Lita Othman
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS

Majlis Pelancaran ‘Program Duta Guru’ Kementerian Pendidikan Malaysia – Yayasan PETRONAS
Jumaat, 13 Disember 2019


Yang Berhormat Dr. Maszlee Bin Malik, Menteri Pendidikan Malaysia

Yang Berbahagia Datuk Ahmad Nizam Salleh, Pengerusi PETRONAS dan Yayasan PETRONAS

Ahli Lembaga Pengarah PETRONAS dan Yayasan PETRONAS

Barisan Kepimpinan Eksekutif PETRONAS

Dif-dif kehormat Dari Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah,

Para Pengetua dan Guru-Guru yang diraikan

Tuan-tuan dan puan-puan, Warga media sekalian

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera,

Pengenalan

1.Terlebih dahulu, bagi pihak Yayasan PETRONAS, saya dengan penuh rasa berbesar hati ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Yang Berhormat Dr. Maszlee Bin Malik, Menteri Pendidikan Malaysia kerana sudi meluangkan masa untuk menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Duta Guru Kementerian Pendidikan Malaysia bersama Yayasan PETRONAS. Ini merupakan tanda titik permulaan usahasama Kementerian Pendidikan dan Yayasan PETRONAS dalam memperkasakan kemahiran dan kebolehan guru-guru di Malaysia.

2. Ucapan selamat datang serta ribuan terima kasih juga kepada hadirin dan hadirat yang turut bersama-sama meraikan majlis pada hari ini.

Tuan-tuan dan puan-puan sekalian,

3. Berada saya di sini adalah atas jasa dan pengorbanan yang dicurahkan oleh guru- guru ketika saya masih bergelar pelajar. Kebarangkalian besar, begitu juga pengalaman setiap seorang di dalam dewan ini. Selain daripada ahli keluarga, para gurulah peneman utama sepanjang waktu kita membesar dan dalam zaman menerokai ilmu pengetahuan.

4. Atas keprihatinan, pengorbanan masa serta dedikasi mereka, ramai rakyat Malaysia telah berjaya merealisasikan impian untuk menjadi jurutera, jaguh sukan dan juga angkasawan yang masyhur!

5. Jadi kami berbesar hati kerana dapat berganding bahu memberi sokongan untuk perkembangan kerjaya para guru yang diraikan pada hari ini yang juga merupakan pemangkin kepada ribuan kerjaya.

Melahirkan Pemimpin Masa Hadapan

Tuan-tuan dan puan-puan,

6. Sebagai salah satu cabang tanggungjawab korporat sosial PETRONAS, tujuan utama Yayasan PETRONAS adalah untuk menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, alam sekitar dan pendidikan. Dalam bidang Pendidikan – matlamat utama kami adalah untuk menyediakan lebih banyak peluang bagi para pelajar yang kurang berkemampuan untuk meneruskan pendidikan terutamanya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) supaya mereka dapat mencapai potensi dan impian masing-masing dalam bidang tersebut.

7. Yang Amat Berhormat Tun Dr Mahathir pada 4 Disember yang lalu telahpun menekankan kepentingan STEM bagi menghadapi cabaran masa hadapan, tertumanya bagi melahirkan golongan profesional teknikal untuk memenuhi keperluan pekerjaan di dalam IR 4.0. Forum Ekonomi Dunia pula menganggarkan 65 peratus kanak-kanak yang kini berada di sekolah rendah, akan menceburi alam pekerjaan dan bakal mengambil tugas baru seperti tree surgeon, carbon trader, nano chef dan sebagainya.

8. Guru-guru kini dipertanggungjawabkan untuk melahirkan minat dan kecekalan di kalangan pelajar terutamanya di bidang STEM. Oleh itu, tenaga pengajar yang berhadapan dengan para pelajar setiap hari harus diberi sokongan yang lestari.

9. Aspirasi Program Duta Guru adalah untuk membangunkan 4500 orang guru teladan bagi meningkatkan Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT) melalui pendidikan STEM sebagai asas sebuah negara yang berdaya saing menerusi penerapan teknik Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) dalam penyampaian Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) kepada 3.9 juta pelajar menjelang 2030.

10. Program Duta Guru dilahirkan dari usahasama Yayasan PETRONAS dengan Kementerian Pendidkan Malaysia, melalui Pusat STEM, dan juga melibatkan rakan strategik, PETROSAINS. Ia juga merupakan hasil nukilan para guru, di mana mereka akan bersama-sama mencipta kandungan program serta rancangan pengajaran yang mantap. Para guru yang menyertai program ini akan diterapkan ke dalam satu komuniti pembelajaran profesional (Professional Learning Community – PLC) dan dipupuk untuk menjadi guru teladan kepada rakan sekerja mereka.

11. Dalam mengambilkira semua ini, Program Duta Guru ini mempunyai 3 bidang fokus untuk pembangunan Guru yang menceburi bidang STEM:-

  • Latihan dan Bimbingan – Melengkapi guru dengan pengetahuan, kemahiran dan pemikiran untuk menjadi guru STEM yang sangat berkesan melalui latihan dalam perkhidmatan dan bimbingan jurulatih.
  • Kandungan – Membimbing guru untuk menghasilkan rancangan pengajaran STEM yang berkualiti tinggi untuk meningkatkan impak kurikulum.
  • Infrastruktur – Memberikan akses kepada sumber STEM yang relevan melalui menambahbaikan infrastruktur STEM dengan menyediakan STEM Hub di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BPTN).

12. Program Duta Guru akan terus memperkukuhkan kemahiran guru bagi meningkatkan mutu dan impak penyampaian STEM di sekolah-sekolah awam, terutamanya sekolah-sekolah yang majoriti pelajar yang terdiri daripada keluarga B40.

Transformasi Merentas Zaman dan Menyeluruh

Hadirin yang dihormati sekalian,

13. PETRONAS telah menyumbang usaha kepada bidang pendidikan sejak penubuhannya 45 tahun yang lalu. Kami percaya pendidikan adalah teras untuk kemajuan Malaysia, khususnya menerusi pendidikan STEM.

14. Dari segi infrastruktur – PETRONAS telah membantu mendirikan taska, institusi pengajian tinggi, asrama harian dan kolej teknikal dan sebagainya. Tujuan ini adalah untuk kesamarataan pendidikan berkualiti atau ‘equal access to quality education’ terutama untuk mereka dari golongan B40. Baru-baru ini, kami telah bantu mendirikan sebuah Asrama Harian Luar Bandar di sebuah pulau terpencil di Sabah, cukup untuk menginapi 70 orang murid, bagi membantu pelajar-pelajar menikmati pembelejaran yang sempurna.

15. Dari segi Komuniti – pelbagai program telah dijalankan untuk memupuk minat dan meningkatkan kecekapan dalam bidang STEM. Salah satu program yang telah kami jalankan sejak tahun 2002 ialah Program Sentuhan Ilmu PETRONAS yang telah memberi manfaat kepada lebih 16,000 orang pelajar Malaysia dan membantu para pelajar, guru, ibu bapa dan masyarakat sekeliling supaya lebih mengenali STEM dan menambahkan minat melalui STEM Lab, STEM Fair dan bermacam-macam lagi.

16. Dari segi Pelajar pula, sejak 2014, Yayasan PETRONAS telah menganjurkan program Sentuhan Harapan – All About Youth (AAY) setiap tahun. Sepanjang ia dijalankan, 250 projek kreatif dan inovatif telah dihasilkan oleh peserta AAY. Dengan sokongan Guru Besar, bimbingan guru dan PETRONAS “Buddies”, para pelajar telah berjaya mereka-cipta projek seperti sistem amaran banjir, tandas mesra alam yang jimat tenaga dan air, serta aplikasi telefon pintar bagi memudahkan ulang kaji mata pelajaran.

17. Untuk para Guru pula, program PETRONAS Counsellors yang dianjurkan tahun ini menyaksikan lebih 1,000 orang Guru Bimbingan dan Kaunseling dari beberapa negeri diberi pendedahan dengan maklumat terkini, termasuk kerjaya dalam bidang STEM dan TVET.

18. Yayasan PETRONAS akan terus melanjutkan usaha PETRONAS sepanjang 45 tahun lalu untuk memacukan kemajuan menerusi pendidikan bagi meningkatkan daya saing negara di peringkat global pada masa akan datang.

Kesimpulan

Hadirin sekalian,

19. Sebelum saya mengundur diri, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang sudi hadir di sini bersama kami, terutama sekali kepada Yang Berhormat Dr Maszlee Malik, para pemimpin bidang pendidikan dan juga Lembaga Pengarah PETRONAS dan Yayasan PETRONAS serta ahli keluarga PETRONAS sekalian.

20. Kerjasama untuk mewujudkan mutu pendidikan yang lebih baik sememangnya bukanlah sesuatu yang mudah. Ia memerlukan kerjasama erat di antara sektor awam, korporat serta NGO. Oleh itu, saya ingin merakamkan pengiktirafan kepada PETRONAS, Yayasan PETRONAS, Pusat STEM Negara, PETROSAINS, Kementerian Pendidikan Malaysia, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah, para guru besar dan guru serta semua pihak yang telah memberikan sokongan penuh terhadap program ini. Saya percaya kolaborasi ini akan berterusan dan terus memberikan impak terbaik kepada sektor pendidikan Malaysia.

21. Yayasan PETRONAS akan terus mencari peluang untuk bekerjasama dengan pihak- pihak yang berkaitan dalam bidang pendidikan dan pembelajaran demi manfaat kepada komuniti, industri dan juga Malaysia.

22. Kepada semua guru yang hadir pada hari ini, dan juga mereka yang berbakti di sekitar negara, terutama kepada mereka yang telah berjasa membentuk hala tuju negara, dengan tulus ikhlas saya ucapkan, Terima Kasih.

Wabillahitaufik walhidayah wassalamu alaikum warahmatullahi wabarakatuh.