“Menyulam” Peluang Untuk Ubah Hidup

Siti Zubaidah, 44 tahun, sudah menjadi tukang jahit untuk bertahun-tahun lamanya. Tetapi idea untuk memiliki perniagaan sendiri tidak pernah terlintas di fikiran beliau.

“Semuanya bermula apabila saya bertekad untuk meningkatkan kemahiran. Saya mendaftar dengan sebuah program kerajaan untuk mempelajari kemahiran dan teknik baharu dalam menjahit,” kata tukang jahit pakaian tradisional itu.

Hampir sepanjang hidupnya, Siti berkerja sebagai penjahit pakaian. Namun beliau tidak pernah menyangka akan memiliki perniagaan sendiri.

Sewaktu mengikuti kursus, Siti telah mendapat inspirasi untuk memulakan perniagaannya sendiri. Fikir beliau, “Jika sekarang saya memperoleh RM500 sebulan, dengan kemahiran baharu saya mungkin dapat meningkatkan pendapatan saya.”

Melangkah keluar dari kepompong

Kemudian, beliau mendapat sedikit bantuan kewangan daripada kerajaan untuk membeli mesin jahit dan menyewa ruang kecil untuk mendirikan kedainya.

Siti semakin beralih dari kerja sambilannya sebagai tukang jahit di kedai pakaian, ke arah menjadi pemilik perniagaan.

“Saya sangat teruja memiliki perniagaan sendiri, tetapi saya tetap bimbang. Terdetik di hati – adakah saya akan mendapat pelanggan yang secukupnya?” kongsinya. Inilah lumrah yang dihadapi mana-mana pemilik perniagaan yang ingin memastikan perniagaan mereka dapat terus bertahan.

Sekali-sekala pelanggan sedia ada akan datang untuk megubah suai pakaian, tetapi bilangan pesanan masih tidak menentu. Menjelang musim perayaan pula, Siti akan menerima lebih banyak pesanan berbanding bulan-bulan biasa. Tetapi selain daripada waktu tersebut, perniagaannya hampir tidak bergerak.

Siti fokus berkerja di stesen jahitnya, menyiapkan pakaian pelanggan dengan teliti

Justeru, beliau perlu mencari jalan untuk menarik lebih banyak pelanggan dan memastikan mereka menjadi pelanggan setia. “Sebelum mengikuti Program empowerNCER, pelanggan saya hanyalah orang-orang yang mengenali saya. Saya cuma bergantung kepada mereka untuk memberitahu orang lain tentang perkhidmatan saya.

Tetapi semuanya berubah setelah mengikuti program ini. Saya menyedari bahawa saya dapat menggunakan WhatsApp, WeChat dan Facebook untuk memasarkan perkhidmatan saya dan meningkatkan potensi perniagaan,” katanya.

Melalui program empowerNCER, Yayasan PETRONAS yang menerajui inisiatif Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (MEKAR) telah membekalkan Siti dengan kemahiran untuk memasarkan dan mengembangkan perniagaannya.

Malah, Siti kerap mengunjungi Pusat Internet Sik untuk mengakses Facebook dan berhubung dengan pelanggannya. Beliau mengambil inisiatif untuk menggunakan sambungan internet pantas dan kemudahan komputer percuma di sana.

Siti menjahit pakaian untuk lelaki dan wanita. Latihan ini membantunya untuk meningkatkan kemahiran dan menjual hasil tangannya.

Hasil tangan semakin dapat perhatian

Beliau semakin seronok menjahit pakaian tradisional, dan beliau juga semakin mahir berniaga. “Saya akan pasti berkongsi gambar pakaian yang saya jahit dengan pelanggan, dan mereka pula akan kongsikan dengan rakan-rakan. Beginilah cara saya mendapatkan pelanggan baharu,” ujarnya gembira.

Siti dengan bangganya mempamerkan beberapa hasil kerjanya yang cantik. Beliau menghantar rekaan bajunya kepada pelanggan, dan mereka pula akan membantu mempromosikan perniagaannya.

Lama kelamaan, pesanan semakin bertambah dan Siti menjadi tidak cukup tangan! Oleh itu, beliau mengupah pula tukang jahit lain untuk membantunya di kedai.

Dalam beberapa bulan sahaja, pendapatan Siti meningkat dua kali ganda. Setelah menolak kos perniagaan dan membayar pekerjanya, beliau membawa pulang pendapatan RM1,200 setiap bulan.

“Perniagaan saya bertambah maju dan saya kini mempunyai keyakinan baharu. Saya berharap agar wanita lain di kampung akan memanfaatkan peluang yang ada untuk mengubah kehidupan mereka,” kata beliau.

Suatu hari nanti, Siti berharap beliau dapat menganjurkan program bengkel di kampung untuk memperkasakan wanita lain dengan kemahiran dan pengetahuan untuk mencari nafkah. “Kalau saya dapat melakukannya, saya tahu mereka juga boleh!” akhiri beliau dengan yakin.

Dengan kemahiran, keyakinan diri dan kemampuan menjana pendapatan, wanita mempunyai kekuatan untuk bebas dari kancah kemiskinan. Kelak, tidak mustahil mereka juga mampu mencipta peluang yang boleh mengubah hidup insan-insan di komuniti mereka.

Apakah perasaan anda setelah membaca kisah ini? Tinggalkan emotikon di ruangan komen!