Pembuat Pizza Jadi Sumber Kekuatan Keluarga

Nor Hamimi Binti Darus, 41 tahun merupakan tulang belakang keluarganya. Suami beliau telah mengalami kecederaan saraf tunjang dan sejak itu tidak dapat lagi berkerja. Demi mengisi perut dan menampung kehidupan mereka sekeluarga, Nor Hamimi mula berjinak-jinak dengan mengadun tepung dan lama-kelamaan minatnya bercambah untuk membuat dan menjual pizza.

Nor Hamimi ‘berkampung’ di dapur berjam-jam untuk membuat pizza yang lazat

Beliau telah mengubahsuai dapur rumahnya menjadi ‘kilang roti mini’ dengan aktiviti menguli tepung berjam-jam lamanya dan bereskperimen dengan pelbagai perisa. Tidak lama selepas itu, beliau sedar akan bakat istimewanya dalam membuat pizza, yang kian menjadi bualan ramai.

“Saya mula memperoleh kira-kira RM750 sebulan daripada hasil jualan pizza,” kata Nor Hamimi. Namun pendapatan ini hanya memberi kelegaan sementara kerana menjelang pertengahan bulan, wang yang diperoleh masih tidak cukup untuk menampung keperluan. Terdapat juga masa-masa mencabar di mana beliau terpaksa berjimat dan makan sekadar alas perut sahaja, supaya keluarganya tidak berlapar pada hari-hari akan datang.

Nur Hamimi makes delicious pizzas that are great tasting and eye-catching

Semakin terdesak untuk menambah pendapatan bagi menampung keperluan keluarga, beliau tekad mencari penyelesaian yang ada. Akhirnya, beliau memutuskan untuk mengikuti kursus keusahawanaan dan pembuatan pastri anjuran empowerNCER yang merupakan salah sebuah inisiatif di bawah Program Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (MEKAR) yang diterajui Yayasan PETRONAS.

Kerja Keras Siang dan Malam

Nor Hamimi menghadam segala ilmu dengan penuh bersemangat. Beliau meluangkan masa seharian untuk menambah baik dan mempelajari teknik baharu membuat roti, ilmu dalam memulakan perniagaan dan cara-cara memasarkan pizzanya.

Dengan bantuan Program empowerNCER, Nur Hamimi mendapatkan kelengkapan baharu untuk menambahkan produktiviti di dapur yang membolehkan beliau membuat lebih banyak pizza dalam masa yang lebih singkat. 

Beliau juga memberanikan diri untuk menjual pizza bukan sahaja dari dapur sendiri, malah di sebuah tapak pasar malam untuk menjual pizza segar dan besarnya. 

Nor Hamimi menghantar pizza kepada pelanggan

Kini, Nur Hamimi semakin yakin sebagai pembuat roti dan lebih berkebolehan dalam memasarkan produknya. Hasilnya? Perniagaan Nur Hamimi menarik semakin ramai pelanggan dan pendapatannya bertambah dua kali ganda daripada RM750 ke RM1600 sebulan!

Bukan Sekadar Pizza Sahaja! 

“Saya tak pernah berhenti bereskperimen di dapur. Sekarang, menu saya turut menawarkan roti garlic cheese, roti hot dog dan roti black pepper cheese. Sementara itu, pizza saya masih digemari ramai kerana keenakannya. Sambutan positif inilah yang menyuntik semangat saya untuk terus berniaga,” ujar Nor Hamimi.

Aneka pizza dan roti yang dibuat oleh Nor Hamimi

Kepelbagaian produk roti beliau lama-kelamaan membuka lebih banyak peluang kerana beliau kemudian mula menerima tempahan untuk acara persendirian dan majlis keramaian. Namun ini bermaksud Nur Hamimi memerlukan dapur yang lebih besar untuk berkerja. Oleh itu, beliau menyewa sebuah tapak dan mengubahsuaikannya menjadi sebuah dapur. Tapak ini juga menjadi tempat beliau menjual pelbagai jenis roti untuk penduduk setempat.

Tidak Hanya Terhenti di Sini

Buat Nor Hamimi, beliau masih merancang untuk memajukan lagi perniagaannya. Beliau berharap agar dapat mendapatkan food truck supaya beliau boleh membawa keenakan pizzanya ke mana sahaja para pelanggan berada.

Apabila insan seperti Nor Hamimi ditemukan dengan peluang yang betul, hasilnya menjadi berlipat ganda. Ia bukan sahaja memberi impak kepada seorang individu itu, malah dapat mengubah hidup seisi keluarga.

Hari ini, Nor Hamimi mampu untuk menampung keluarganya dengan lebih selesa. Lebih penting lagi, beliau telah menjadi sumber inspirasi buat ramai wanita yang mungkin berada dalam situasi yang serupa.

Tiada apa yang dapat menghalang Nor Hamimi dari impiannya

Program empowerNCER memberi nafas baharu buat para wanita dan keluarga mereka. Ia mampu mengubah dan menaik taraf tahap sosioekonomi mereka.

Bagaimana dengan anda? Adakah anda mengenali sesiapa yang juga perlukan bimbingan perniagaan yang bukan sekadar bantuan derma?

Kongsikan bersama kami, dan kami akan menghubungi anda.