Program Duta Guru Kementerian Pendidikan Malaysia – Yayasan PETRONAS Dilancar

Guru untuk masa depan: 4,500 guru bakal dilatih dengan kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT)

Kuala Lumpur, 13 Disember 2019 Yayasan PETRONAS, cabang Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) PETRONAS, dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, hari ini melancarkan Program Duta Guru Kementerian Pendidikan Malaysia – Yayasan PETRONAS untuk mengukuhkan kemahiran 4,500 guru yang berfungsi sebagai guru teladan dalam Kemahiran Berfikir Aras Tinggi (KBAT).

Program ini disasarkan kepada tenaga pengajar yang giat dalam penyampaian Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), sebagai teras kepada membina daya saing Malaysia menjelang tahun 2030 di sekolah-sekolah, terutama di mana majoriti pelajarnya terdiri daripada keluarga dari golongan berpendapatan rendah (B40). 

Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik, ketika merasmikan pelancaran program berkata: “Program Duta Guru akan melengkapkan guru dengan pengetahuan, kemahiran serta daya fikir untuk menjadi seseorang pendidik STEM yang berkesan dan berimpak tinggi. Ini seiras dan seterusnya melengkapkan program i-Think Kementerian Pendidikan Malaysia yang bertujuan membentuk kemahiran berfikir di dalam persekitaran pembelajaran, dengan tujuan menghasilkan para pelajar berfikiran kreatif, kritis dan inovatif.”

Usahasama Yayasan PETRONAS dan Kementerian Pendidikan Malaysia, melalui Pusat STEM Negara ini, mempunyai 3 Strategi Utama –

  • Latihan & Bimbingan: Melengkapkan guru dengan pengetahuan, kemahiran dan sikap untuk menjadi guru yang efektif membangunkan kemenjadian murid.
  • Kandungan: Membantu guru menghasilkan bahan sumber pembelajaran berkualiti tinggi untuk menyokong Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) STEM yang berkesan.
  • Infrastruktur: Menyediakan STEM Hub berserta bahan dan peralatan yang bersesuaian dan mencukupi.

Pengerusi PETRONAS dan Yayasan PETRONAS, Datuk Ahmad Nizam Salleh berkata: “Program Duta Guru dibentuk untuk membangunkan “educreators” dari kalangan “educators” kerana kami percaya guru memainkan peranan penting dalam memupuk minat dan meningkatkan kecekalan pelajar dalam subjek STEM. Kami sedar betapa pentingnya usaha untuk meningkatkan kemahiran guru-guru secara berterusan dengan sumber relevan dan selari dengan perubahan zaman Industri 4.0.”

Seramai 150 guru telah dipilih untuk menyertai kelompok pertama yang akan bermula pada Januari 2020, dan akan mendapat latihan kemahiran dan pedagogi selama dua tahun untuk memperkasakan KBAT. 

Program Duta Guru ini juga akan memberi sokongan infrastruktur yang ditambahbaik melalui ‘STEM Hub’ yang ditempatkan di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri (BPTN) dan Pusat Teknologi Pendidikan Bahagian (PTPB). Ia  akan dikelolakan oleh PETROSAINS di setiap negeri dan memberi para guru akses kepada bahan sumber STEM bermutu tinggi. 

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan PETRONAS Lita Osman berkata: “Yayasan PETRONAS akan terus melanjutkan usaha PETRONAS sepanjang 45 tahun lalu untuk memacukan kemajuan menerusi pendidikan. Kami percaya program-program yang memberi tumpuan kepada para guru demi pembangunan masyarakat akan memberi impak yang besar bagi menjamin kesejahteraan dan meningkatkan daya saing negara di peringkat global pada masa hadapan.”

Menurut laporan Forum Ekonomi Dunia, 65 peratus daripada kanak-kanak di sekolah rendah kini akan berhadapan bidang kerja baharu berasaskan STEM. Justeru, peranan penting guru sebagai pemangkin bagi mencetuskan minat dan kompetensi kanak-kanak dalam bidang STEM, bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif dengan kemahiran yang diperlukan bagi membina tenaga kerja yang produktif.

Mengenai Yayasan PETRONAS

Yayasan PETRONAS merupakan cabang Tanggungjawab Sosial Korporat PETRONAS dengan misinya untuk menyumbang terhadap kesejahteraan masyarakat. Yayasan PETRONAS berhasrat untuk menyampaikan kelestarian impak, mempertingkatkan kualiti kehidupan dan hasil sosioekonomi komuniti di seluruh negara menerusi bidang-bidang fokus yang merangkumi Pendidikan, Kesejahteraan dan Pembangunan Komuniti serta Alam Sekitar.

Disediakan bagi pihak:
YAYASAN PETRONAS

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:
Reshvinder Kaur: + 60 17-275 7985| resh.kaur@ceria.asia
Lim Wei Wen: +6012 3223476 | weiwen.lim@petronas.com