Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak Bertaraf Dunia Kini Dibuka untuk Penyelidikan Biodiversiti Hutan Hujan Tropika

Tongod, Sabah, 26 Mac 2019 (Selasa): Di sebalik kehijauan alam dan keindahan Air Terjun Imbak, Pusat
Pembelajaran Kanyon Imbak (Imbak Canyon Studies Centre – ICSC) dibuka secara rasmi hari ini,mencipta sejarah bagi Kawasan Konservasi Kanyon Imbak (Imbak Canyon Conservation Area – ICCA) yang merupakan sebuah hutan hujan dara yang terletak di tengah-tengah negeri Sabah dan menempatkan kekayaan flora dan fauna serta landskap yang unik.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie bin Haji Apdal, menyempurnakan majlis perasmian ICSC bersama Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Haji Jamalul Kiram bin Datuk Haji Mohd. Zakaria; Pengerusi PETRONAS dan Yayasan PETRONAS, Datuk Ahmad Nizam Salleh; serta Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Pelancaran ICSC merupakan langkah penting dalam usaha Kerajaan Negeri Sabah untuk melindungi warisan alam semula jadi dan persekitaran hutan hujan Sabah, pada masa sama meningkatkan keupayaannya sebagai pusat kajian alam sekitar dan biodiversiti kelas dunia.
ICCA merupakan salah satu daripada lima kawasan konservasi yang diuruskan oleh kumpulan Yayasan Sabah, termasuk Lembah Danum, Lembangan Maliau, Pesisiran Pantai Silam dan Sungai Taliwas.

Sejak tahun 2010, PETRONAS telah menyumbang sejumlah RM83 juta ke arah usaha konservasi Kanyon Imbak, menjadikannya usaha sama tempatan yang pertama dan terbesar bersama Kumpulan Yayasan Sabah bagi tujuan memelihara kawasan perlindungan hutan yang telah diwartakan di negeri ini.

Pada hari ini, pihak-pihak terlibat telah melanjutkan kerjasama mereka untuk ICSC melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU). ICSC merupakan sebuah kemudahan seluas 27 hektar yang terletak dalam zon teras ICCA yang berkeluasan 27,599 hektar.

Pengerusi PETRONAS dan Yayasan PETRONAS, Datuk Ahmad Nizam Salleh berkata, “Pusat ini
merupakan nadi usaha konservasi di Kanyon Imbak. Sebagai usaha untuk memacu aktiviti penyelidikan di sini, PETRONAS melalui Yayasan PETRONAS merancang untuk memperkenalkan sebuah geran penyelidikan alam semula jadi bagi mendorong kajian berkaitan sinki karbon, biodiversiti serta tenaga baharu.”

“Kami yakin bahawa kerjasama dengan Kumpulan Yayasan Sabah akan mampu membantu kita melindungi hak cipta intelektual dan paten komersial yang mungkin terhasil daripada penyelidikan yang dijalankan di Kanyon Imbak,” kata beliau.

Datuk Nizam menambah, “Kami mahu meneruskan usaha konservasi dalam kaedah yang mapan dan berskala, di mana kejayaan bersama dapat dicapai.”

Sementara itu, Pengarah Yayasan Sabah, Datuk Haji Jamalul berkata, “ICSC akan memperkukuhkan posisi ICCA sebagai pusat pembelajaran komuniti pribumi dalam bidang pemuliharaan biodiversiti dan penggunaan sumber alam yang mapan, di samping langkah memelihara bank gen dan meneroka potensi bidang farmaseutikal dan bioteknologi. Di samping itu, Kumpulan Yayasan Sabah juga komited dalam memperkasa komuniti tempatan ke arah taraf kehidupan yang lebih baik serta masa depan yang mapan.”

Pembinaan ICSC membuktikan kerjasama erat antara Kumpulan Yayasan Sabah dan PETRONAS ke arah usaha konservasi dan pembangunan di Sabah, khususnya kepada penduduk daerah Tongod.

“Seiring dengan misi untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakyat Malaysia di negeri ini, pembinaan ICSC akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan dalam aktiviti-aktiviti berkaitan hospitaliti dan pelancongan kepada komuniti di kawasan Imbak, khasnya generasi muda. Melalui aktiviti-aktiviti ini, kami berharap agar mereka dapat mempertingkatkan taraf kehidupan dalam kaedah yang lestari,” tambah Datuk Haji Jamalul.

Mengenai Kumpulan Yayasan Sabah

Kumpulan Yayasan Sabah merupakan sebuah Badan Berkanun Kerajaan Negeri yang ditubuhkan dengan objektif menyediakan peluang-peluang serta kemudahan pendidikan kepada rakyat Malaysia di Sabah. Kumpulan Yayasan Sabah menceburi pelbagai industri komersial yang merangkumi industri perkayuan, agro perladangan, pelancongan, pembangunan hartanah, perkilangan, minyak & gas, serta hospitaliti. Bagi memenuhi permintaan global dalam dunia perniagaan yang semakin mencabar, Kumpulan Yayasan Sabah menceburi industri minyak dan gas selain Mesyuarat, Insentif, Konvensyen
dan Pameran (MICE).

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web: www.yayasansabahgroup.org.my/bm

Mengenai Yayasan PETRONAS

Selama 45 tahun, dari lautan ke paya bakau, hutan belantara dan sungai, PETRONAS secara konsisten menyumbang ke arah kesejahteraan alam sekitar menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan pada peringkat penting usaha pemuliharaan. Menerusi cabangan tanggungjawab sosial korporatnya, Yayasan PETRONAS, usaha penyelidikan, rehabiliasi, latihan dan program kesedaran umum serta pengaktifan rangkaian sukarela kakitangan PETRONAS akan diteruskan untuk mengembalikan kesimbangan alam sekitar. Pembangunan komuniti tempatan juga merupakan aspek penting dalam usaha pemuliharaan Yayasan PETRONAS.

Sumbangan Yayasan PETRONAS kepada Kanyon Imbak merupakan sebahagian daripada komitmennya ke arah pemuliharaan alam dalam tiga bidang utama – Penyelidikan, Perhutanan Semula dan Tenaga Baharu.

Sila layari laman web: www.yayasanpetronas.com.my untuk maklumat lanjut.

Mengenai Usaha sama Konservasi Kanyon Imbak Kumpulan Yayasan Sabah-PETRONAS

Fasa 1: 2010-2013

Sumbangan PETRONAS: RM6 juta

Bidang-bidang kerjasama: Pendidikan alam sekitar, kesedaran umum, bantuan komuniti, penyelidikan, pengajian etnoperhutanan dan dokumentasi, peningkatan kapasiti, pembentukan Pelan Pengurusan Strategik ICCA dan kerja-kerja awal pembentukan Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak.

Fasa 2: 2014- 2017

Sumbangan PETRONAS: RM77 juta

Bidang-bidang kerjasama: Pembinaan Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak dan kemudahan berkaitan termasuk pembangunan Pusat Maklumat Ulu Kinabatangan dan Jeti Ulu Kinabatangan yang terletak di Kampung Imbak serta penubuhan Persatuan Porter dan Malim Kanyon Imbak.

Pusat Pembelajaran Kanyon Imbak (PPKI)

Saiz: 27 hektar

Diuruskan oleh: Yayasan Sabah
Penyediaan kemudahan untuk: Penyelidikan, pendidikan, latihan dan rekreasi alam semulajadi
Kumpulan pengunjung yang dijangkakan: VVIP, kumpulan daripada sektor pendidikan, penyelidik dan saintis serta pengembara hutan.

Untuk pertanyaan media, sila hubungi:

Sam S. Karnail
Pengurus Kumpulan
Bahagian Komunikasi Korporat
Kumpulan Yayasan Sabah
+6088-326448
sam@icsb-sabah.com.my
Jackson Sawatan
Perhubungan Media
Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS
+6088-526530
jackson.sawatan@petronas.com