Resipi Keluarga Jadi Penyelamat

Apakah sebab Mohd Nur Zaffan memilih untuk menamakan hidangan istimewanya Nasi Pandan Ayam Menangis? 

“Inilah resipi rahsia keluarga saya. Setiap kali saya menjamah hidangan ini, akan terkenang memori indah bersama keluarga, sehingga menitis air mata saya,” jelas beliau sambil tertawa.

Suatu masa dahulu, anak muda ini pernah menjadi pekerja kilang. Beliau adalah anak sulung dari enam beradik dan merupakan anak yang pertama melangkah ke dalam alam pekerjaan. Namun disebabkan tidak belajar tinggi, pilihan kerjaya Nur Zaffan adalah terhad.

Setelah beberapa lama mencari, beliau akhirnya mendapat kerja sebagai seorang pengimpal di sebuah kilang kereta. “Disebabkan saya langsung tidak berpelangalaman, saya terpaksa belajar semua kemahiran di tempat kerja,” jelasnya. “Saya juga harus menampung kos makanan dan pengangkutan ulang-alik ke tempat kerja. Sangat sukar untuk bertahan dengan hanya RM500 setiap bulan,” akuinya.

Nur Zaffan pernah bekerja sebagai pengimpal sebelum mencuba nasib untuk mencari rezeki berbekalkan resipi keluarganya

Tukar Kerjaya, Tukar Selera

Sudah takdir, kerjaya beliau sebagai pengimpal tidak bertahan lama. Pandemik melanda dan Perintah Kawalan Pergerakan pula dikenakan. Lama kelamaan, syarikat tersebut terpaksa memberhentikan Nur Zaffan. Beliau terpaksa mencari cara baharu untuk mencari rezeki.

Beliau pun memutuskan untuk membuka gerai di pasar malam yang menjual pelbagai jenis mainan dan aksesori. “Pengalaman ini teramat manis buat saya kerana saya dapat bertemu dengan bermacam-macam jenis orang di samping mempelajari cara berniaga dan membuat untung walaupun kecil,” cerita beliau. Rupa-rupanya inilah bibit permulaan kerjayanya dalam perniagaan.

Resipi rahsia keluarga Nur Zaffan – ayam goreng rangup disalut ramuan herba dan rempah istimewa.

Suatu hari ketika duduk makan bersama keluarga, beliau bertanyakan ibunya tentang idea untuk berniaga menggunakan resipi keluarga mereka. Tanpa disangka, ibunya bersetuju dengan idea perniagaan itu dan menggalakkan beliau untuk mencuba.

“Sebagai anak sulung dalam keluarga, saya memang sudah biasa di dapur. Sayalah yang selalu menolong memasak untuk keluarga dan ia menyeronokkan buat saya,” katanya.

Masa yang Tepat

Nur Zaffan terjumpa iklan mengenai Program empowerNCER.

Tanpa ragu-ragu, beliau terus mendaftarkan dirinya di dalam program latihan ini yang direka untuk membantu komuniti B40 memulakan perniagaan mereka sendiri demi memperoleh pendapatan yang lebih baik.

“Saya belajar menggunakan media sosial untuk mempromosikan perniagaan saya. Di samping itu, pelatih juga memberi sokongan padu dan membimbing saya tentang cara meletakkan harga produk, menarik pelanggan dan menguruskan akaun saya,” katanya. Sejurus selepas latihan, Nur Zaffan terus membeli beberapa peralatan dapur serta kanopi dah bermulalah perniagaan beliau!

Melalui program empowerNCER, Yayasan PETRONAS yang menerajui inisiatif Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (MEKAR) telah membekalkan Zaffran dengan kemahiran baru. 

Setiap petang, Nur Zaffan dan ibunya mendirikan dan mengendalikan gerai itu bersama.

Resepi Rahsia Untuk Semua

Tidak lama kemudian, perniagaan beliau mula diketahui ramai. Nur Zaffan membuat laman Facebook untuk mendekati pelanggan. Setiap petang, ramai pelanggan mengunjungi gerainya untuk menikmati resipi istimewa Nur Zaffran.

Sudah mula ada pelanggan tetap, sekali cuba pasti nak lagi!

Nasi pandan berwarna hijau muda itu disajikan dengan ayam goreng rangup disalut dengan rempah istimewa. “Ayam inilah yang membuat pelanggan saya kembali membeli. Ini resipi rahsia keluarga dan saya gembira apabila ramai orang yang sukakannya! ” katanya.

“Perniagaan saya berkembang hampir sekelip mata. Orang ramai mendapat tahu mengenai gerai saya melalui Facebook dan saya mula menerima pesanan banyak sekaligus, ”katanya. Pendapatannya kini meningkat lima kali ganda, dari RM500 ke RM2,500 setiap bulan.

Nur Zaffan tidak cukup tangan di gerai, mujur ibu jadi penyelamat!

Dengan permintaan yang semakin meningkat, ibunya pula menawarkan diri untuk membantunya di gerai. Dalam hanya beberapa minggu, Nur Zaffan berjaya memperoleh lesen perniagaan yang membolehkannya membayar pinjaman kecilnya.

“Saya ingin terus mengembangkan perniagaan saya dan mudah-mudahan saya dapat membuka restoran sendiri suatu hari nanti,” katanya. Peluang terbentang luas buat anak muda ini yang baru sahaja menerokai sisi keusahawanannya.

Lain kali apabila berada di Baling, cubalah ‘Nasi Pandan Ayam Menangis’ . Jangan terkejut pula jika anda benar-benar menitiskan air mata kegembiraan!