Terus Memandang Jauh Walau Hilang Penglihatan

Buat ramai antara kita, tidak sanggup rasanya melalui kehidupan tanpa keupayaan untuk melihat.

Namun buat Mohd Azman Bin Md Rejab yang terpaksa menghadapi pelbagai cabaran akibat hilang penglihatan, beliau memilih untuk tidak terus menangisi nasib diri. Sebaliknya, beliau bangkit demi menaik taraf kehidupan diri sekeluarga.

Azman menetap di Kampung Bawah Gunong di Baling, Kedah. Seperti kebanyakan kampung-kampung terpencil di Malaysia, rata-rata penduduknya mencari rezeki melalui pertanian dan kerja upah kecil-kecilan. Kerja yang lumayan dengan pendapatan tetap sememangnya sukar didapati. Tetapi buat Azman, jiwanya tetap pada kehidupan kampung dan beliau berhasrat untuk terus tinggal di kampung halaman.

Dek ketekadan untuk terus memberi nafkah buat keluarga, beliau mencari ikhtiar untuk memperoleh pendapatan tetap. Pada masa yang sama, Azman menyingkap kembali pengalamannya dirawat melalui sesi refleksologi yang sedikit sebanyak menyembuhkan sakit sebelum ini. Lantas, Azman memutuskan untuk menjalani kurus refleksologi.

“Jari-jemari saya sememangnya amat peka dan semakin banyak saya berlatih, tangan saya pula menjadi semakin kuat,” ujar Azman. Beliau juga menyedari bahawa keadaannya yang tiada penglihatan memberinya kelebihan dan ketangkasan dalam mencari urat saraf yang perlu diurut, supaya dapat melegakan sakit-sakit pada tubuh pelanggan.

“Selepas sahaja tamat kursus, saya terus mencetak risalah dan meminta jasa kawan-kawan untuk membantu menyebarkannya. Itulah permulaannya di mana saya berjaya mendapat beberapa orang pelanggan,” kongsi Azman. Selepas itu, beliau mula memperoleh pendapatan kecil sebanyak RM300 setiap bulan.

Azman bangga memiliki perniagaan refleksologi yang diusahakan sendiri

Namun demikian setelah sekian lama, perniagaannya masih berada di takuk yang sama.

Peluang Tiba Tepat Pada Waktunya

Walaupun Azman berkemahiran, beliau kurang berpengetahuan dalam mengembangkan perniagaan. Beliau tidak tahu cara menambah bilangan pelanggan, apatah lagi memasarkan khidmatnya di luar kawasan kampung sendiri.

Tepat pada detik itu, Azman mendapat tahu tentang Program empowerNCER. 

Melalui program empowerNCER, Yayasan PETRONAS yang menerajui inisiatif Memampankan Ekonomi Asas Rakyat (MEKAR) telah membekalkan Azman dengan kemahiran baru. 

Ia merupakan sebuah program latihan keusahawanan dan kemahiran bertujuan untuk memperkasakan komuniti B40 bagi  meningkatkan tahap kemapanan dan kebergantungan pada diri sendiri.

Inilah batu loncatan yang Azman benar-benar perlukan. Sejurus selepas program latihan tersebut, Azman ‘mengubah wajah’ perniagaannya dengan menaik taraf pusat refleksologi yang kini dilengkapi dengan kerusi urut baharu yang selesa dan papan tanda berwarna kuning menyala dengan nama ‘D’Desa Reflexology’ untuk menarik pelanggan baharu.

Papan tanda kuning menyala yang menunjukkan arah ke pusat perniagaan Azman

Semangat baharu menghidupkan kembali perniagaan beliau. Azman terus meningkatkan kemahirannya sebagai juru urut dan beliau bertambah yakin apabila perniagaannya semakin diketahui ramai. Malah, pelanggan kerap kembali dan turut menyarankan D’Desa Reflexology kepada orang lain. Selain itu, Azman juga diberi peluang untuk berkongsi kemahirannya melalui sesi online yang telah membuka ruang untuk mempromosikan perniagaannya.

Azman mengurut kaki pelanggan dengan sentuhan yang berkemahiran

Hari ini, Azman memperoleh jumlah pelanggan yang tetap, hasil khidmat yang memuaskan dan kemahiran pemasaran yang lebih berkesan. Kini, Azman memperoleh tiga kali ganda pendapatan berbanding jumlah RM300 sewaktu perniagaannya baru bertapak. 

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat kerana menerusi program ini, saya telah bertambah yakin untuk maju ke hadapan. Saya telah ditemukan dengan ramai pelanggan yang berpuas hati dengan khidmat saya. Malah ramai yang sanggup datang dari jauh seperti dari Terengganu, Kelantan dan Sungai Petani. Semuanya berpuas hati dengan khidmat yang saya berikan,” kongsi Azman.

Pusat perniagaan Azman ‘bertukar wajah’ dengan kerusi urut serba baharu

Memasang Impian Lebih Besar

Kehidupan bertambah baik buat Azman sekeluarga dan beliau memandang semakin jauh ke hadapan. “Saya amat berharap bahawa suatu hari nanti, saya berpeluang untuk memberikan khidmat refleksologi buat para pemimpin negara ini,” akhiri Azman.

Azman berkongsi pengalaman dalam membina dan memajukan perniagaan

Semangat yakin boleh dan kerja keras telah membawa Azman keluar dari kancah kemiskinan walaupun beliau tiada penglihatan.

Namun terdapat ramai lagi daripada golongan berpendapatan rendah seperti Azman. Mereka mempunyai kemahiran dan bakat, tetapi sayangnya kurang ilmu dan peluang untuk menempa kehidupan yang lebih baik. 

Azman menyertai Program empowerNCER pada masa yang tepat dan kesungguhan beliau telahpun membuahkan hasil. 

Bagaimana pula dengan anda? Adakah anda mengenali sesiapa yang memerlukan ilmu, bimbingan dan latihan? Komen di bawah.